Friday, October 26, 2012

TEKS UCAPAN PENGGULUNGAN BAJET 2013 (YB. DATUK HAJI AHMAD BIN HAJI MASLAN) TIMB. MENTERI DI JPM


TEKS UCAPAN PENGGULUNGAN BAJET 2013
(YB. DATUK HAJI AHMAD BIN HAJI MASLAN)
TIMB. MENTERI DI JPM


Tuan Yang di-Pertua,

FELDA menyambut baik cadangan Yang Berhormat Jempol supaya Kolej Yayasan FELDA di Feldajaya Serting dinaiktaraf menjadi Universiti FELDA. Kita juga turut mengambil maklum cadangan Yang Berhormat Silam agar diwujudkan Universiti FELDA di kawasan Parlimen Silam yang berasaskan kepada penyelidikan dan pembangunan. FELDA memiliki Pusat Bioteknologi di Nilai dan Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Abdul Razak di Tekam, Pahang. FELDA juga mempunyai 4 Kolej Yayasan FELDA iaitu di Kelana Jaya, Mempaga, Trolak dan Raja Alias. Jumlah pelajar ialah seramai 564 orang untuk  pelbagai kursus jangka pendek dalam bidang hospitaliti, pramusaji, multimedia, kulinari dan pakaian. Selain itu, FELDA melaksanakan latihan kemahiran dengan pelbagai institusi dengan purata melibatkan 5,000 generasi baru setahun. Namun, setakat ini belum ada keputusan muktamad untuk FELDA mewujudkan sebuah Universiti dan cadangan masih dalam peringkat perbincangan.

Yang Berhormat Jempol mencadangkan agar diwujudkan pertumbuhan pekan dan penempatan baru FELDA untuk generasi baru peneroka bagi menyediakan peluang perniagaan seperti bengkel dan kedai runcit untuk anak generasi FELDA menjana pendapatan. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, terdapat 3 buah Feldajaya iaitu di Mempaga, Trolak, Raja Alias dan Bandar Tun Razak Jengka yang turut merangkumi penempatan, penyediaan tapak perniagaan termasuk pembangunan infrastruktur asas. Tentunya sekaligus dapat membantu menjana ekonomi di kalangan warga FELDA khususnya bagi generasi baru.


Cadangan Yang Berhormat Pengerang agar diwujudkan bandar baru FELDA di Pengerang hasil kerjasama FELDA dan Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) untuk membangunkan perumahan baru untuk golongan peneroka generasi baru diambil perhatian. Kerajaan juga menyambut baik cadangan Yang Berhormat Pengerang supaya generasi baru FELDA turut diberi peluang terlibat dengan Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang. Perbincangan awal di antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telahpun dijalankan pada 13 September 2012 yang lalu bertempat di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor. Keputusan yang diperoleh adalah perbincangan di antara Petronas, IKBN dan FELDA akan dijalankan setelah persetujuan bersama dicapai di antara Petronas dan IKBN. Dalam tempoh tersebut, tumpuan akan diberikan kepada latihan kemahiran bersesuaian yang akan dikendalikan oleh IKBN. Kita berharap generasi baru dari kalangan warga FELDA khususnya di kawasan Pengerang dan sekitarnya akan mengambil peluang serta manafaat daripada pelaksanaan projek RAPID ini.

Mengenai permasalahan gangguan bekalan air yang diutarakan oleh Yang Berhormat Kuala Krau di kawasan FELDA  Parlimen Kuala Krau. Pelaksanaan Projek Bekalan Air Pahang mengandungi empat (4) fasa dan telah dimulakan oleh FELDA mulai tahun 2006. Fasa 1 telah pun siap sepenuhnya pada tahun 2008 melibatkan pembinaan 12 buah loji dan penggantian 324 kilometer paip membabitkan peruntukan berjumlah RM193.6 juta. Projek ini turut melibatkan Daerah Temerloh termasuklah kawasan Kuala Krau membabitkan kos RM14.7 juta.

Manakala saranan Yang Berhormat Kuala Krau agar usaha-usaha mengganti paip lama ini dibuat dengan segera dipandang serius oleh Kerajaan. Fasa 2 projek ini telah pun bermula pada tahun 2009 dan telah pun siap sepenuhnya pada tahun 2011. Fasa ini merupakan kesinambungan daripada Projek Fasa 1 membabitkan penggantian paip utama dan retikulasi bagi Daerah Bera, Kuantan dan Raub. Projek ini melibatkan kos sebanyak RM23.5 juta. Fasa 3 RM10.5 juta pula bermula pada tahun 2010 dan telah pun siap pada tahun ini.

Mengenai cadangan Yang Berhormat Kuala Krau agar FELDA dapat memberi peruntukan RM200 juta bagi mengatasi masalah air ini juga diambil perhatian. FELDA telah pun mendahulukan pembiayaan berjumlah RM400 juta dan akan dibayar balik oleh Kerajaan Persekutuan dalam Rolling Pelan Ketiga, RMK-10. Semua aset bekalan air FELDA yang telah dinaik taraf diserahkan kepada pihak berkuasa air negeri/operator air negeri.

Yang Berhormat Kuala Krau mencadangkan agar FELDA mencari kawasan tanah luas yang baru untuk pembinaan rumah generasi baru peneroka. Untuk makluman, FELDA akan menyiapkan projek perumahan generasi baru sebanyak 20,000 unit untuk tempoh lima tahun di atas tanah seluas 2,023.4 kektar (5,000 ekar) dalam kawasan FELDA, membabitkan belanja sebanyak RM1.5 bilion. Cadangan ini ialah untuk membantu selesaikan sebahagian isu perumahan generasi baru FELDA di banyak kawasan rancangan, yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri semasa membentangkan Bajet 2013.

Pihak pengurusan FELDA telah mengenalpasti syarikat-syarikat yang berkelayakan untuk menjalankan usahasama bagi kerja-kerja pembinaan rumah mengikut kaedah Rumah Pasang Siap (IBS). Sekiranya harga-harga yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat berkenaan bersesuaian, FELDA akan melaksanakan pembinaan rumah secara berperingkat-peringkat. Sementara itu, rundingan dengan Pihak Berkuasa Negeri masih dalam perbincangan untuk kelulusan geran hak milik lot-lot rumah yang akan diberi kepada generasi FELDA.

FELDA telahpun melaksanakan 10 pembinaan perumahan untuk warga FELDA melalui Projek Perumahan Warga FELDA (PWF) sejak tahun 2004 lagi dan 6 dalam perancangan akhir. Ini dilaksanakan sebagai usaha membantu generasi peneroka memiliki rumah dengan sempurna berdasarkan konsep mampu milik.

Mengenai permohonan Yang Berhormat Hulu Selangor agar Kampung Sungai Buaya yang mana satu masa dahulu di bawah Skim FELDA juga diberi pertimbangan dalam Skim Perumahan kawasan FELDA. Pada 2 Februari 1995, FELDA Sungai Buaya secara rasminya telah dibatalkan warta daripada Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 kerana dicadangkan pada ketika itu untuk dibangunkan sebagai kawasan pembangunan bercampur.

Mengenai pembinaan perumahan kawasan FELDA, permohonan tersebut tidak dapat dilaksanakan memandangkan Sungai Buaya bukan lagi diurus tadbir oleh FELDA. Namun begitu, pertimbangan boleh dilakukan di bawah Program KASIH FELDA bagi membaikpulih rumah di kawasan kampung-kampung tradisional berhampiran FELDA dengan kos maksimum RM5,000 bagi sebuah rumah. Projek tersebut telah dilaksanakan mulai tahun ini dan akan membabitkan seluruh negara.

Yang Berhormat Kalabakan mencadangkan agar FELDA dapat memberikan ganjaran yang tertentu kepada peneroka Kampung Murut walaupun tidak menerima jumlah penuh ‘durian runtuh’ RM15,000 iaitu 1/3 dari amaun yang diterima peneroka lain.  

Pengumuman ‘durian runtuh’ bersempena dengan Penyenaraian FELDA Global Ventures Holdings (FGV) diberikan khusus kepada peneroka-peneroka Rancangan Tanah yang diuruskan di bawah Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960. Di Kalabakan, terdapat seramai 235 orang kaum Murut yang menjadi peserta rancangan di ladang yang diuruskan oleh FELDA Global Ventures Plantations Sdn. Bhd. (FGVP(M)SB) berdasarkan 14 ekar/orang melalui sistem perkongsian keuntungan hasil ladang. Oleh kerana Kaum Murut ditakrifkan sebagai peserta rancangan dan bukannya peneroka FELDA serta mendapat hasil daripada perkongsian keuntungan hasil ladang, maka pemberian ,durian runtuh, adalah tidak melibatkan mereka. Pada masa ini, kaum Murut menerima agihan keuntungan ladang yang dibayar oleh FELDA melalui Pembangunan Murut Kalabakan Berhad pada setiap tahun sejak 1998 lagi. Namun begitu, Kerajaan sedia memberi pertimbangan di bawah Program KASIH FELDA bagi membaikpulih 235 rumah Kaum Murut itu.

Yang Berhormat Tuaran ingin tahu jika kawasan FELDA di Sabah terlibat dengan penyenaraian FELDA Global Ventures.Yang Berhormat juga membangkitkan isu geran tanah yang dijanjikan akan diberi kepada peneroka FELDA di Sabah.

Tanah yang terlibat dengan sewa jangka panjang untuk penyenaraian FELDA Global Ventures Holdings (FGV) merupakan tanah ladang milik FELDA yang diurus tadbir oleh FELDA Plantations. Mulai 1 Januari 2012, sejumlah 70,398 hektar di Umas dan Sahabat, Sabah telah disewa jangka panjang kepada FGV.

Berkenaan dengan isu geran tanah, di FELDA Umas kerja-kerja penyediaan hak milik peneroka iaitu melalui Memorandum Of Transfer (MOT) telahpun ditandatangani oleh pengurusan tertinggi FELDA. Urusan selanjutnya ialah untuk menyerahkan dokumen pemilikan Hak Milik kepada Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT) Tawau, Jabatan Tanah dan Ukur, Sabah dan dijangka dilaksanakan pada minggu kedua November tahun ini.  Ini membabitkan sejumlah 779 orang peneroka di Umas.

Bagi peneroka di FELDA Sahabat, kerja-kerja mengukur lot ladang dan kampung sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada pertengahan tahun 2013. Ini membabitkan seramai 831 orang peneroka di Sahabat. Pada masa yang sama, pihak FELDA masih menunggu kelulusan pendaftaran Geran Tanah oleh Jabatan Tanah dan Ukur Sabah yang terlibat. Urusan dokumen pemilikan Hak Milik akan diuruskan selepas Geran tersebut didaftarkan oleh Jabatan Tanah dan Ukur Sabah.


Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD)

Tuan Yang Dipertua,

Yang Berhormat Ampang membangkitkan permasalahan pemandu teksi yang menerima TR1MA (Teksi Rakyat 1Malaysia) yang mengalami masalah mendapatkan Panel pemberian tayar dan masalah bekalan tayar yang sentiasa habis. Yang Berhormat mencadangkan agar Kerajaan mengambil pendekatan memberikan terus permit-permit kepada pemandu teksi. Permasalahan mendapatkan panel tayar dan pemberian tayar hanya berlaku di peringkat awal perlaksanaan TR1MA. Sambutan yang menggalakkan dari pemandu teksi pada peringkat awal ditambah dengan masalah operasi pengeluaran tayar memberi sedikit kesan kepada bekalan tayar terutamanya pengedar Goodyear yang menjadi pilihan utama kepada 90% pemandu teksi seluruh negara. Pada masa kini, permasalahan tersebut tidaklah begitu serius melainkan di panel-panel tayar yang popular di kalangan pemandu teksi.

YAB Perdana Menteri telah pun mengumumkan pemberian permi-permit terus kepada pemandu teksi. SPAD kini sedang dalam usaha merealisasikan saranan YAB Perdana Menteri melalui pembentukan Model Perniagaan Teksi yang baru bagi menjamin kebajikan dan kesejahteraan pemandu-pemandu teksi. Anggaran permit individu yang akan diberikan ialah sekitar 7 ribu permit.

Yang Berhormat Simpang Renggam mencadangkan agar pengangkutan awam dibina selaras dengan pembangunan Projek Perumahan Rakyat (PR1MA) untuk mengatasi masalah pengangkutan awam. Kerajaan sedang menggubal dasar nasional untuk pengangkutan awam darat.  Salah satu langkah yang sedang dikaji ialah menyatupadukan secara lebih berkesan perancangan gunatanah yang di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri dengan perancangan pengangkutan awam di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan. Cadangan Yang Berhormat adalah selaras dengan hasrat deraf Dasar Pengangkutan Awam Negara dan akan diambilkira dalam penggubalan garis panduan terperinci kelak.

Yang Berhormat Hulu Selangor mencadangkan agar Kerajaan mewujudkan skim insurans perlindungan kemalangan kepada pengusaha bas sekolah. SPAD sedang berbincang dengan beberapa syarikat insuran bagi mengenal pasti kos dan mekanisma yang terbaik dalam memperkenalkan Skim Insurans Perlindungan Kemalangan kepada bas-bas sekolah. Ini adalah antara inisiatif yang sedang dikaji oleh SPAD dalam menambahbaik industri bas sekolah.

Yang Berhormat Kuantan mencadangkan satu cost-effective study dan feasibility study dijalankan untuk menangani masalah pengangkutan awam di Kuantan. Feasibility study telah dijalankan oleh SPAD bersama-sama dengan Kerajaan Negeri dan pengusaha-pengusaha bas di Kuantan. Hasil dari pengkajian mendapati,  jumlah laluan beroperasi yang berkurangan dan terdapat laluan yang tiada perkhidmatan. Pengusaha-pengusaha bas yang sedia ada masih lagi tidak mampu untuk menambah laluan operasi yang tidak aktif dan laluan baru walaupun dana sementara bas henti-henti telah disalurkan. Dari pengkajian tersebut SPAD berpendapat bahawa kemasukkan Rapid Kuantan mulai Disember tahun ini adalah salah satu jalan yang terbaik untuk menangani masalah pengangkutan awam di Kuantan.

Yang Berhormat Ipoh Barat membangkitkan mengapa Malaysia masih menggunakan sistem ‘railway’ lama jika dibandingkan dengan Negara China yang menggunakan ‘fast train’. Sistem Keretapi Malaysia (KTMB) telah wujud hampir 125 tahun yang lalu dengan menggunakan landasan meter gauge (jarak antara 2 rel ialah 1000 mm). Jarak keseluruhan jaringan landasan KTMB berjumlah lebih kurang 1660 km. Jaringan tersebut  turut menghubungkan sistem keretapi Malaysia dengan Thailand. Hasrat untuk menggunakan fast train hanya boleh diwujudkan dengan penggunaan landasan jenis standard gauge (jarak antara 2 rel ialah 1435 mm). Pelaburan yang tinggi diperlukan untuk menukar keseluruhan landasan KTMB selain semua stok kereta, lokomotif dan wagon juga perlu menggunakan sistem standard gauge. Untuk projek sistem keretapi baru (ERL, LRT, MRT) sistem landasan jenis standard gauge telah diguna pakai.

Yang Berhormat Ipoh Barat menyatakan yang harga tiket keretapi mahal dan jadual perjalanan tidak dijalankan secara sistematik. Pada masa kini, KTMB mempunyai 3 jenis perkhidmatan tren penumpang iaitu KTM Antarabandar, KTM Komuter dan Electric Trains Services (ETS). Harga tiket keretapi masih lagi murah jika dibandingkan dengan mod pengangkutan lain. Sebagai contoh, tambang perjalanan sehala KTM Komuter di antara stesen KL Sentral ke stesen Angkasapuri sejauh 4 kilometer (km) adalah RM1.00 berbanding tambang Putra-LRT dari stesen Abdullah Hukum ke stesen Pasar Seni dengan jarak yang sama adalah RM1.60. Begitu juga perbandingan KTM Komuter dengan MRT Singapura pada jarak 4 km dari stesen Woodlands ke stesen Kranji adalah pada kadar tambang RM2.60. Selain itu, contoh bagi tambang kelas kedua perkhidmatan KTM Antarabandar dari stesen KL Sentral ke stesen Woodlands sejauh 650 km adalah RM34.00 berbanding tambang bas pada destinasi yang sama adalah RM46.00 dan teksi RM320.00. KTMB juga ada memberikan diskaun kepada harga tiket untuk OKU, warga emas dan kanak-kanak. Selain itu, berdasarkan Bajet 2013 yang diumumkan oleh Kerajaan, diskaun sebanyak 50% ke atas harga tiket perkhidmatan KTM Komuter akan diberikan kepada penumpang warganegara Malaysia yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan.

Mengenai persoalan gangguan ke atas jadual perjalanan, ini adalah disebabkan oleh kegagalan tren dan infrastruktur keretapi berfungsi dengan baik pada satu-satu masa yang akan menyebabkan jadual asal perjalanan tren terjejas. Namun, pihak KTMB sentiasa memastikan penumpang sentiasa maklum akan gangguan dan kelewatan perjalanan tren melalui pengumuman di stesen dan laman sesawang KTMB.
APMM


Tuan Yang Dipertua,

Kerajaan menyambut baik saranan Yang Berhormat Langkawi agar Jabatan berkaitan Maritim dapat menentukan zon-zon larangan supaya dapat dijaga dan tidak berlaku pencerobohan. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Zon Maritim Malaysia ertinya perairan pedalaman (internal waters), laut wilayah, pelantar benua, Zon Ekonomi Eksklusif dan perairan perikanan Malaysia dan termasuk ruang udara di atas Zon itu. Zon Maritim Malaysia merupakan zon larangan terhadap perbuatan jenayah yang melanggar mana-mana akta yang berkuatkuasa. APMM sentiasa mengawal pantai dan perairan Zon Maritim Malaysia secara berterusan 24 jam sehari menggunakan aset-aset yang ada seperti radar (Sistem Pengawasan Laut - SWASLA), pesawat kapal terbang dan helikopter, kapal, bot serta anggota yang ditempatkan di lokasi-lokasi strategik di kawasan hot spot.

Pada masa ini, APMM beroperasi dengan pengisian perjawatan 78 peratus (%) dari jumlah 5,170 perjawatan yang diluluskan, 14 radar (9 di semenanjung, 3 di Sabah dan 2 mudah alih), 88 buah kapal, 163 buah bot, 2 kapal terbang Bombardier, 6 pesawat helikopter untuk mengawasi pesisir pantai sepanjang 4,492 km dan perairan pelantar benua seluas 476,761.87 km persegi.

Zon larangan yang diwujudkan di bawah Akta Kementerian/Jabatan/Agensi masing-masing seperti Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Jabatan Laut, Jabatan Perikanan, Jabatan Kastam, kawasan panas dan sasaran penting sememangnya dipantau secara berterusan selama 24 jam dengan keupayaan aset-aset dimiliki oleh APMM.


Yang Berhormat Tanjung Piai mencadangkan peruntukan APMM ditambah agar aktiviti penguatkuasaan dapat dijalankan. Peruntukan dan Perbelanjaan Mengurus serta Peruntukan dan Perbelanjaan Pembangunan APMM bagi tahun 2010 sehingga 2012 adalah seperti berikut:

Peruntukan & Perbelanjaan Mengurus APMM Tahun 2010-2012:

Tahun
Peruntukan
(RM)
Perbelanjaan
(RM)
2010
305,545,083.00
304,586,203.89
2011
355,843,000.00
354,337,817.36
2012
(setakat 30/09/2012)
381,900,000.00*
260,187,852.99

* Berdasarkan unjuran Agensi, peruntukan tahun 2012 akan dibelanjakan sepenuhnya di mana Agensi mempunyai beberapa tanggungan/komitmen yang akan diselesaikan pada penghujung tahun.

Peruntukan & Perbelanjaan Pembangunan APMM Tahun 2010-2012

Tahun
Peruntukan
(RM)
Perbelanjaan
(RM)
2010
379,825,421.15
292,644,772.67
2011
316,589,815.20
316,514,027.12
2012
(setakat 30/09/2012)
285,400,000.00
249,596,631.80

APMM sememangnya teramat memerlukan peruntukan tambahan bagi memastikan pengoperasian kapal, bot dan pesawat dapat dilaksanakan seoptimumnya. Apatah lagi dengan pertambahan anggota serta kapal dan bot yang diperolehi baru baru ini memerlukan prasarana dan senggaraan yang tinggi. Pelan Perancangan Strategik Maritim Malaysia 2040 meliputi pembinaan pangkalan udara di Sabah, pos pos hadapan di pulau pulau strategik, peningkatan sistem SWASLA, perolehan kapal ronda laut dalam New Generation Patrol Vessel (NGPV) untuk meronda di perairan laut dalam dan pesawat udara tambahan.

Yang Berhormat turut mencadangkan agar peralatan menghalang pertumpahan minyak diberikan kepada APMM untuk mengawal pencemaran minyak di laut. Agensi utama yang dipertanggung jawabkan mengatasi pertumpahan minyak adalah Jabatan Laut Malaysia di bawah Kementerian Pengangkutan, manakala pencemaran minyak pula adalah Jabatan Alam Sekitar di bawah NRE. APMM selaku agensi sokongan  Dalam Pelan Strategik Maritim berhasrat akan dilengkapi dengan peralatan pertumpahan minyak menggunakan ‘dispersant’ dan pengawalan minyak menggunakan kaedah ‘boom’. Manakala pesawat udara Bombardier dipasang dengan sistem Side Looking Airborne Radar (SLAR) yang berupaya mengesan tumpahan minyak. Penambahbaikan ‘SOP’ kepada Rancangan Kontigensi Kebangsaan Kawalan Tumpahan Minyak akan dikaji dari masa ke semasa dengan mengambil kira suasana, keupayaan aset yang sedia ada dan keadaan semasa bersama Petroleum Industrial of Malaysia Mutual Aid Group (PIMMAG) dan stakeholders yang lain.

**********************************








No comments:

Post a Comment