Wednesday, February 29, 2012

Taman Sri Api-Api dapat surau baharu



AHMAD Maslan (dalam jentera pengorek) melakukan pecah tanah tapak Surau Taman Sri Api-Api, Pontian, baru-baru ini.


PONTIAN 28 Feb. - Selama lapan tahun masyarakat Islam di Taman Sri Api-Api di sini menggunakan 'kolong' rumah pangsa sebagai surau sementara.
Walaupun sukar, namun semangat kerjasama dan permuafakatan yang terjalin erat antara 900 penduduk akhirnya berbaloi apabila menerima peruntukan RM250,000 daripada Jabatan Perdana Menteri bagi membina sebuah surau baharu.
Pengerusi Surau Taman Sri Api-Api, Mohd. Tuah Sahlan berkata, berita gembira itu pasti melegakan penduduk setelah sekian lama menanti dan menggunakan surau sementara yang dibina hasil gotong-royong mereka pada 2004.
"Di surau sementara ini, kami menjalankan aktiviti membaca Yasin dan tahlil, sembahyang terawih dan Maulidur Rasul selain aktiviti oleh golongan wanita serta tempat mesyuarat bagi jawatankuasa Rukun Tetangga," katanya ketika ditemui selepas majlis pecah tanah tapak surau baru itu oleh Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sri Api-Api, Mohd. Farook Sheikh Dawood, 42, bersyukur kerana salah satu usaha bagi menambahkan kemudahan awam di taman tersebut tercapai.
Katanya, sebagai sebuah taman perumahan baru, masih banyak kemudahan awam yang diperlukan demi keselesaan masyarakat menjalankan aktiviti mereka termasuk dewan serbaguna yang boleh dijadikan pusat kegiatan penduduk khususnya untuk bermesyuarat.
"Selepas pembinaan surau, matlamat kami membina dewan serbaguna untuk manfaat penduduk Taman Sri Api-Api dan masyarakat sekitarnya," katanya.
Bagi Timbalan Pengerusi KRT, Mohd. Yusof Yunos, 55, pembinaan surau baru itu tepat pada masanya memandangkan umat Islam di taman tersebut semakin bertambah termasuk di kawasan yang baru.
"Ia juga diharap dapat meningkatkan lagi semangat perpaduan dan kerjasama dalam kalangan penduduk termasuk golongan muda bagi bersama-sama mengimarahkan surau baru itu kelak," katanya.

No comments:

Post a Comment